KES BULI
Buli merupakan isu yang tidak asing lagi dalam kalangan
rakyat Malaysia berikutan beberapa kes yang pernah mendapat perhatian media
sebelum ini . Buli didefinisikan sebagai mempermain-mainkan seseorang dengan
tujuan menggertak atau menakutkan mangsa buli. Gejala ini boleh terjadi dalam
dua bentuk iaitu secara emosi atau secara fizikal dan biasanya melibatkan dua
pihak iaitu pihak yang membuli serta pihak yang dibuli.
Terdapat beberapa kes buli yang mengakibatkan mangsa
mengalami gangguan emosi yang teruk malah terdapat kes yang melibatkan kematian
ini telah membuahkan kebimbangan dalam hati ibu bapa, pihak sekolah serta
masyakat sendiri. Justeru, gejala ini tidak boleh dipandang enteng dan
memerlukan solusi tertentu bagi mencegah kes ini daripada berulang. Sebelum
mencari penyelesaian kepada masalah ini, kita perlu terlebih dahulu mengkaji
dan memahami punca mengapa berlakunya gejala tersebut agar solusi terbaik dapat
diperoleh.
STATISTIK KES BULI
LAPORAN KES BULI MENGIKUT NEGERI
Jadual di atas menunjukkan jumlah kes buli yang telah
dilaporkan mengikut negeri dari tahun 2000 sehingga 2007. Kadar kes yang
dilaporkan agak membimbangkan dan dilihat berubah-ubah mengikut tahun. Hal ini
menunjukkan gejala ini perlu diambil serius dan dicegah supaya tidak menjadi
lebih parah.
Indeks perlakuan buli sekolah dan tahap perlakuan buli di
kalanganan pelajar sekolah.
Jadual di atas pula menunjukkan indeks perlakuan buli
berdasarkan peringkat persekolahan, lokasi sekolah dan jantina. Kesemua indeks
yang diperoleh agak membimbangkan dan melibatkan kedua-dua jantina serta
meliputi lokasi bandar dan juga luar bandar.
FAKTOR-FAKTOR GEJALA BULI
Antara faktor yang menyebabkan buli berlaku adalah
disebabkan latar belakang hidup yang tidak stabil samada di rumah atau di
sekolah. Pembuli dalam kelompok ini biasanya pernah mengalami peristiwa pahit
yang mengakibatkan gangguan emosi dan tekanan kepada diri mereka. Seterusnya,
tekanan ini akan menyebankan mereka tidak dapat mengawal emosi dan membuli bagi
melepaskan tekanan.
Selain itu, buli juga terjadi akibat pengaruh rakan sebaya
yang mempunyai sikap negatif. Lazimnya pembuli bersifat kurang matang dan mudah
terikut-ikut dengan aktiviti rakan sebaya. Justeru, apabila mereka tersilap
memilih rakan, mereka akan mudah terjebak dengan gejala yang tidak sihat
seperti buli. Malah, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya mereka pantang
dicabar dan ego apabila dicabar dan diprovok oleh rakan-rakan.
Di samping itu, gejala ini juga berpunca daripada pengaruh
media massa. Seperti yang diketahui umum, media massa pada masa kini banyak
memaparkan budaya negatif dan bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat
Malaysia. Banyak aksi-aksi ganas serta bersifat di luar kemanusiaan disiarkan
dalam cerita, drama dan filem pada hari ini. Maka, hal ini akan menyebabkan
mereka terdorong untuk mencuba aksi tersbut tanpa memikirkan akibat perbuatan
tersebut.
Tidak dapat dinafikan bahawa bahawa kurang didikan agama juga
menjadi punca kepada berlakunya gejala buli pada hari ini. Kurangnya penerapan
nilai-nilai murni dalam diri para pelajar menyebabkan mereka tidak dapat
membezakan perkara baik dan buruk dalam kehidupan seharian. Kelemahan institusi
kekeluargaan juga menyebabkan mereka kurang mendapat kasih sayang dan cenderung
melakukan perbuatan yang tidak sihat.
Walaubagaimanapun, sebelum gejala ini terus menjadi barah
dalam masyarakat, langkah-langkah pencegahan perlu segera diambil. Terdapat
banyak langkah efektif yang boleh diambil dalam mencari jalan penyelesaian
kepada gejala ini.
PERANAN NGO MENGATASI GEJALA BULI
NGO juga sebenarnya boleh menjadi agen dalam membantu
mengatasi gejala buli dalam kalangan pelajar. Kebanyakan NGO akan turun terus
kepada masyarakat bagi menyelami nasib masyarakat dari dekat dan akan sedaya
upaya membantu menyelesaikan segala kesulitan yang wujud. Justeru, NGO dilihat
mampu memberi impak yang lebih besar dalam menangani isu ini.
Badan-badan bukan kerajaan(NG0)perlu melaksanakan kempen-kempen
seperti kempen pencegahan buli yang boleh menyedarkan masyarakat akan isu buli
ini. Kempen ini dianjurkan dengan memberi tumpuan kepada ibu bapa dan pihak
sekolah dan memberi pendedahan kepada mereka tentang isu buli agar mereka dapat
mengenalpasti sama ada anak atau pelajar mereka telah menjadi mangsa buli atau
pembuli. Golongan remaja merupakan kelompok yang banyak menjadi pembuli atau
mangsa buli. Mereka perlu disedarkan agar tidak terjejak salah langkah dan bagi
yang telah menjadi mangsa buli perlu disedarkan dan diberi semangat oleh
badan-badan kerajaan dan NGO agar melaporkan kejadian buli kepada pihak
berkenaan.
Langkah melaksanakan kempem tersebut boleh dibuat dengan
menjalinkan kersama dengan Kadet Polis dan Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah
(KPJS). Selain itu, penglibatan kelab SLAD di sekolah juga sedikit sebanyak
dapat membantu dalam menagani masalah ini secara tidak langsung. Tidak tertumpu
kepada pasukan beruniform di sekolah sahaja, pihak NGO yang bergerak di luar
sekolah juga boleh menjalankan peranan masing-masing secara langsung mahupun
tidak langsung untuk mencegah gejala buli.
PANDANGAN TERHADAP GEJALA BULI
Setelah memahami apa itu buli dan mengkaji puncanya, saya
mempunyai beberapa pandangan terhadap gejala buli. Pandangan dan pendapat saya
ini adalah umum dan tidak menjurus kepada mana-mana individu serta kaum
tertentu. Sebaliknya, ia hanyalah pandangan peribadi saya terhadap gejala yang
membimbangkan ini.
Pada pendapat saya, para pelajar perlu pandai membawa diri
sewaktu berada di sekolah khususnya bagi pelajar yang tinggal di asrama. Mereka
harus bijak memilih rakan dan tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana aktiviti
yang tidak sihat. Malah, mereka perlu bersikap lebih tegas dan berkarisma dalam
menyesuaikan diri supaya tidak dilihat lemah dan boleh dibuli.
Peranan ibu bapa dalam institusi kekeluargaan tidak boleh
dinafikan dalam membantu mengatasi gejala ini. Ibu bapa perlu menunjukkan
contoh teladan yang baik kepada anak-anal serta menekankan didikan agama dan
moral. Ibu bapa juga sepatutnya memantau aktiviti anak-anak dan meluangkan masa
untuk berkongsi cerita dan masalah dengan mereka. Justeru, anak-anak akan dapat
belajar nilai-nilai murni dengan lebih awal bermula dari rumah serta dapat
mengurangkan tekanan dengan berkongsi cerita dengan ibu bapa mereka.
Selain itu, saya mempunyai pandangan bahawa pihak sekolah
patut bekerjasama secara terus dengan pihak berkuasa dalam menangani masalah
ini. Hal ini kerana para pelajar biasanya tidak berani untuk menyuarakan
masalah kepada pihak sekolah kerana bidang kuasa mereka yang terhad dalam isu
ini namun akan lebih yakin dengan kuasa yang ada pada pihak tertentu.
Di samping itu, masyarakat juga perlu lebih peka dan
prihatin dengan perkembangan generasi muda pada hari ini. Masyarakat perlu
mempraktikkan budaya murni dan bermoral dalam kehidupan harian supaya tidak ada
sebarang teladan buruk akan dipelajari oleh generasi muda. Malah, mereka tidak
sepatutnya cepat melatah dan terus menghukum pelajar yang bermasalah ini namun
sebaliknya perlu mengkaji terlebih dahulu punca mengapa mereka bertindak
begitu. Seterusnya, ambillah langkah mendekati golongan ini dan bantu mereka
menyelesaikan konflik diri di samping menerapkan nilai murni dalam diri anak
muda.
Walaubagaimanapun, masih banyak aspek yang perlu diperhalusi
dan diteliti dalam isu ini supaya langkah penyelesaian yang diambil akan
mendapat keputusan yang maksimum.
PENUTUP
Konklusinya, setiap individu mempunyai tanggungjawab dan
peranan masing-masing dalam menangani gejala buli. Malah, apa yang paling
penting adalah sikap kerjasama dan prihatin harus disemai agar tidak ada pihak
yang terlepas pandang isu ini. Justeru, demi mencapai kehidupan yang sejahtera,
marilah sama-sama mendidik anak muda yang bakal menjadi generasi pelapis pemimpin
Negara pada masa depan.
No comments:
Post a Comment